Assalamualaikum
Bismillah
Bila mana matinya seseorang ayah, khususnya, maka wajib untuk ahli keluarganya bahagikan harta peninggalan mengikut kiraan faraid. Kita sedia maklum kadar faraid adalah tetap. Tak boleh sesuka hati je bahagikan tanpa ilmu yang betul. Tapi, andai kata kita nak khususkan sebilangan harta yang khas untuk diberi kepada sekian-sekian adik beradik atau sesiapapun, adalah lebih baik untuk beri secara hibah. Apa tu hibah? Apa bezanya dengan wasiat dan faraid? Sini aku cerita tentang hibah harta dalam Islam.
Tahukah anda, hibah bermaksud pemberian hak atau harta secara sukarela tanpa dipaksa atau terpaksa daripada satu pihak kepada satu pihak yang lain.
Bahasa mudahnya hibah adalah hadiah daripada pemberi hibah kepada penerima hibah dengan niat dan tujuan yang baik tanpa sebarang syarat, imbalan atau balasan.
Ia merupakan pemberian secara suka sama suka dengan syarat di dalam hibah itu tidak akan ada hak orang lain yang diambil seperti hak mereka yang dizalimi atau dianiayai.
Menyedari akan kelebihan hibah ini, ia merupakan antara penyelesaian terbaik pengurusan harta dalam Islam.
Sebagai orang Islam, kita haruslah mengetahui lebih mendalam tentang hibah ini agar keputusan yang dibuat kelak tidak akan menganiaya orang lain. Apabila sesuatu harta itu telah dihibahkan ketika pemberi masih hidup, kita tidak berhak mempertikaikannya.
Malah, pemberian hibah ini juga dapat mengelakkan konflik perebutan harta pusaka yang mungkin berlaku setelah kematian pemberi hibah. Walaupun ada ketikanya hibah secara lisan, sebagai contoh, si suami memberitahu isterinya untuk menghibahkan rumahnya kepada si isteri, ia sebenarnya sudah sah.
Jadi tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini bermaksud, apabila harta sudah dihibah secara sah, tetapi jika ada yang mahu merampasnya maka mereka yang terbabit itu melakukan dosa. Perlu diingat, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan di agih kepada waris mengikut hukum faraid.
Apakah beza antara hibah dan wasiat?
Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam pengurusan harta Islam.
Hibah adalah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah manakala wasiat pula adalah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.
Hibah tidak akan berlaku sekiranya si pemberi hibah hanya sekadar berhasrat atau berura-ura sahaja tetapi dengan takdir Allah S.W.T., si pemberi hibah meninggal dunia tanpa diduga. Maka dengan itu hibah tidak akan berlaku kerana hukumnya telah berubah daripada hibah kepada wasiat.
Hibah dan wasiat ini amat digalakkan dalam Islam di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, pertikaian dan perebutan harta dalam di elakkan.
Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Pemberian secara hibah bukan bertujuan untuk mengharapkan pahala dan bukan bertujuan untuk memuliakannya.
Perlu di ingat bahawa hibah hanya akan berlaku ketika seseorang pemberi hibah dan juga penerima hibah itu masih hidup ketika proses pelaksanaan pemberian dilakukan. Pemberian hibah ini lebih kepada pemberian yang berbentuk kasih sayang.
Hibah Harta Dalam Islam
Dalam Islam, hibah adalah salah satu cara pemilikan harta yang sah di sisi syarak. Hibah ini masih berkait rapat dengan konsep pemilikan harta yang lain seperti wasiat, wakaf dan faraid.
Namun sudah tentu hukum dan ciri-ciri konsep hibah berbeza dengan yang lain. Mengikut istilah syarak, hibah merupakan akad pemberian harta yang dilakukan oleh pemberi hibah kepada penerima hibah ketika hidupnya tanpa sebarang balasan ('iwad).
Hibah dalam Islam merupakan amalan sunat dan amat digalakkan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya"Surah al-Nisa' ayat 4
"...dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya"Surah al-Baqarah ayat 177
Selain daripada itu, terdapat juga dalil dalam Al-Quran tentang pelaksanaan hibah yang disebut dalam hadis Rasullulah S.A.W. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud:
"Nabi Muhammad S.A.W menerima dan membalas hadiah"Hadis riwayat at-Tirmizi
Apakah Rukun Hibah?
Rukun hibah ada 4 iaitu :
1. Pemberi hibah (al-wahib)
Pemberi hibah perlu seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd.
Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan dan berkuasa penuh ke atas hartanya.
2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)
Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf.
Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah.
3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)
Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah, mampu diserahkan kepada penerima hibah dan wujud ketika harta berkenaan dihibahkan.
4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)
Lafaz ijab dan kabul merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.
Pemberian hibah harta dalam Islam
Apakah kelebihan pemberian hibah?
Setiap apa yang digalakkan dalam Islam sudah semestinya mempunyai pelbagai kelebihan.
Kelebihan hibah paling utama adalah memudahkan proses pengurusan harta pusaka. Selain itu, berikut merupakan antara kelebihan lain pemberian hibah:
- Pemberian harta secara hibah boleh memupuk perasaan kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturahim. Pemberi hibah boleh memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja terutama mereka yang rapat seperti suami, isteri, anak, ibubapa, anak angkat dan lain-lain bagi menzahirkan kasih sayang antara mereka.
- Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja. Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat. Selain itu, hibah juga boleh diberikan kepada bukan Islam bagi tujuan mengeratkan hubugan silaturahim dan bukan untuk tujuan maksiat.
- Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan di dalam al-Quran. Pemberi hibah bebas menentukan kadar atau bahagian harta yang hendak dihibahkan dengan memberi pertimbangan kepada keperluan hidup dan kehendak semasa menerima hibah.
- Pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah yang hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya. Hal ini kerana, kebiasaannya keperluan seseorang individu dengan individu yang lain adalah berbeza.
- Pemanfaatan harta boleh dilakukan secara terus dan semaksimum mungkin. Instrumen hibah ini boleh menangani masalah ini dengan baik di mana harta yang dihibahkan boleh terus dimanfaatkan oleh penerima hibah ketika pemberi hibah masih hidup.
Setelah memahami konsep hibah ini, ia boleh dianggap sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam.
Konsep hibah amat sesuai diamalkan oleh masyarakat dewasa ini, terutama untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan tanpa mengehadkan kepada kadar dan golongan tertentu.
Apa yang paling penting dalam hibah ialah keikhlasan kerana ia memberikan sesuatu kepada orang lain pada waktu masih hidup tanpa meminta balasan.
Sekian. Moga bermanfaat.
16 comments
super nice entry. Sangat mudah faham dan detail
ReplyDeleteSekarang dah banyak institusi membuka mata tentang kepentingan hibah ni kan.
ReplyDeleteTak pernah ambil tahu pasal hibah ini. Satu perkongsian yang sangat bermanfaat. Terutamanya orang yang buta undang-undang macam saya.
ReplyDeleteKami suami isteri amik juga hibah ni sebagai persediaan
ReplyDeleteselama ni tahu pasal hibah ni, tapi tak berapa nak ambil tahu. bila ada isu berkenaan dengan seorang artis ni, baru la mata. terima kasih di atas info nya
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian.Memang ramai yang masih belum mengetahui tentang hibah ni..wasiat pun ada yang tak berapa faham. Dengan adanya artikel ni..harap2 dapat membantu mereka yang kurang memahami
ReplyDeleteBaru la tahu beza makna hibah dan wasiat tu. Penting kedua2 ni buat keluarga kita nanti. TQ berkongsi info.
ReplyDeletesungguh penting sangat hibah ni. kena cakna lebih la bab ni zaman sekarang
ReplyDeleteAlhamdulilah kalau hibah ni, Suami dah amik untuk Sis..itu pun bila Sis banyak membaca pasal Hibah ni, nasib juga bila terangkan pada Suami, terus Suami nak mohon ...bab harta ni kalau tak ye ye, boleh jadi gaduh sesama keluarga kan..so amiklah hibah..
ReplyDeletezaman IT ni, bukan je celik IT, nak kena celik byk perkara lain lagi.
ReplyDeletedek IT la org semakin cerdik dlm pelbagai hal dan helah!
terutama bab duit, harta dan sewaktu dgnnya.
hibah ni kena faham bebetul konsepnya. then baru apply.
memudahkan di kemudian hari.
aida prefer hibah dari harta pusaka. pusaka ni kekadang waris akan berkelahi.
aniaya bagi si mati :(
Terima kasih di atas perkongsian ini. InsyaAllah akan banyak membantu ramai orang untuk memahami maksud sebenar dan juga tindakan yang perlu dilakukan agar ahli keluarga kita tidak sukar di kemudian hari
ReplyDeleteambil berat tentang soalan hibah ni kan...takut aka ada masalah di kemudian hari nanti
ReplyDeleteBaru tahu perbezaan hibah dengan wasiat... Tp itu la, selalu sangat adik beradik bergaduh pasal ini... Erm..
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian..tak ramai yang tau pasal ni. Bagus untuk rujukan kita semua :)
ReplyDeleteBagusnya info ni. Info ni ibarat fardhu kifayah untuk semua la kan sebab semua wajib amik tahu
ReplyDeleteNumpang promo ya gan
ReplyDeletekami dari agen judi terpercaya, 100% tanpa robot, dengan bonus rollingan 0.3% dan refferal 10% segera di coba keberuntungan agan bersama dengan kami ditunggu ya di dewapk^^^ ;) ;) :*