Cara Atasi 'Reading Slump' Buat Pemula

by - Wednesday, March 01, 2023

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Reading slump. Jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu membawa maksud kemerosotan membaca. Secara ringkasnya ia adalah keadaan yang di mana kita mula rasa tidak bersemangat dalam membaca.


Sama seperti aktiviti seharian yang lain, membaca juga ada naik turunnya. Ada kalanya sebuah buku dapat dihabiskan pembacaan dalam masa sejam dan ada kala yang lain, sebuah buku boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk dihabiskan.

Hari ini aku terfikir untuk menulis bagi menjawab soalan rakan aku di Instagram berkenaan tips untuk elakkan 'reading slump'. Sejujurnya, aku pun baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia membaca ni. Maka, memang 'reading slump' ni dah sebati dah dengan aku. 

Dengan kata 'Membaca Jambatan Ilmu', 'Membaca Amalan Mulia' sahaja tidak cukup untuk menaikkan semangat untuk terus membaca. Sejujurnya, banyak aspek lain yang perlu dipertimbangkan juga seperti tujuan, masa, isi buku dan banyak lagi.

Di sini aku kongsikan beberapa tips yang aku sendiri amalkan untuk kekal semangat menghabiskan sebuah buku. 

(disclaimer: mungkin cara kita tidak sama, jadi apa yang boleh dijadikan panduan, kita ambil)

1) Pastikan tujuan membaca adalah jelas.


Ada sesetengah orang membaca untuk ikut trend, ada yang memang membaca untuk tambahkan ilmu, dan paling beruntung bagi orang yang memang dilatih dari kecil untuk membaca dan menjadi suatu hobi atau kewajipan untuk mereka untuk membaca.

Apabila kita jelas dengan tujuan kita membaca, InsyaAllah kita tak akan lari jauh dari tabiat ini. Bab tujuan ni, terpulang kepada individu itu sendiri. Jadi, tanya balik diri sendiri, "kenapa aku membaca?" kerana diri sendiri sahaja yang lebih mengetahui.

2) Tetapkan Masa Membaca Yang Tidak Membebankan


Bagi aku sendiri, masa adalah perkara terbesar yang menjadikan semangat aku untuk membaca berkurangan. Jadi, aku menetapkan masa bacaan aku tetap pada pukul 8.30 sehingga 9.00 malam yakni masa tersebut memang terang-terang masa yang aku paling lapang sekali. Kalau hujung minggu, aku lebih longgar dari segi masa. Aku baca kalau aku rasa aku perlukan input sahaja.

3) Pastikan Suasana Bacaan Yang Kondusif



Sesetengah orang suka membaca sambil baring dan ada juga yang kena membaca hanya di meja belajar sahaja. Ada yang perlukan teh/kopi sebagai pendamping bacaan dan ada yang perlu kunyah keropok atau kuih juga. Jadi, bab ini terpulang kepada individu itu. Korang kena eksperimen sendiri, korang bandingkan, suasana mana yang paling efisien dalam bacaan korang.

4) Pastikan Pemilihan Genre Buku Yang Menepati Citarasa



Genre buku ni secara kasarnya ada banyaaak sangat untuk diterokai. Bagi aku sendiri, aku paling efisien untuk membaca adalah dengan genre bukan fiksyen yang lebih kepada self-help atau self-love. Ada juga orang yang menilai sesebuah buku bergantung pada penerbit atau penulis itu sendiri. 

Ini bagi mengelakkan korang cepat bosan dengan bacaan korang. Aku pernah baca buku yang dari kulit bukunya nampak menarik tetapi isinya tidak menepati dengan citarasa aku. Dan sampai sekarang buku tersebut masih menjadi perhiasan di rak haha

5) 'Track' Bacaan Kita


Salah satu cara yang aku mula buat sejak tahun ni adalah dengan muat turun beberapa aplikasi yang boleh 'track' bacaan kita. Ada banyak 'book tracker' yang ada kat Play Store/App Store tu. Yang aku guna sekarang Bookly dan Turn. Kedua-duanya best. Cuma kalau nak lagi best, kena bayar sikit la. Korang boleh juga set masa dekat apps tersebut dan bila tiba masa tu, apps tersebut akan keluarkan notifikasi. 

Cara ni bagi aku berkesan sebab apabila habis satu buku, aku jadi tak sabar nak tambah buku lain dalam list. Dan dengan adanya tracker ni, tujuan bacaan aku lagi jelas. Kalau korang jenis yang lebih suka menulis, boleh juga wujudkan sebuah buku khas untuk menulis semua buku yang telah terbaca.

Setakat ini sahaja tips yang aku dapat kongsikan. Aku pun pemula, jadi aku faham betapa susahnya untuk pemula ini mengekalkan prestasi dan konsistensi untuk membaca. Moga ada manfaat dari post ini. Cuba kongsi korang punya cara untuk kekal aktif dalam membaca :D

You May Also Like

1 comments

  1. Dah lama sgt tak membaca... dulu rajin sgat baca novel skrg dah kurg minat... lebih kpd bacaan self-development

    ReplyDelete